Tuesday, December 7, 2010

Calon STAM dipercayai hilang

KOTA BHARU: Seorang remaja yang baru menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dipercayai hilang selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Padang Rokma, Wakaf Baru, Tumpat, sejak empat hari lalu.

Bapanya, Kamariddin Hassan, 46, berkata pada jam 4 petang Ahad lalu, anaknya, Nurul Shaziena, 18 (atas), menghubunginya menerusi telefon meminta izin untuk ke rumah bekas isterinya, Rolarina Awang Tih, 37, di Pasir Tumboh.

Katanya, anak perempuannya sering berulang alik antara rumahnya dan rumah ibunya itu selepas mereka bercerai kira-kira 10 tahun lalu.

“Nurul Shaziena keluar jam 10 pagi dengan menaiki bas sebelum menghubungi saya jam 4 petang mengatakan ingin ke rumah ibunya di Pasir Tumboh.

“Bagaimanapun, pada keesokan hari, saya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak dijawab. Saya menghubungi bekas isteri untuk mengetahui perkara sebenar dan terkejut selepas diberitahu bahawa anak kami tidak ke rumahnya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bimbang dengan keselamatan anaknya itu, Kamariddin kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wakaf Bharu pada jam 12 tengah hari, kelmarin.

Sebarang maklumat, boleh hubungi balai Polis Wakaf Bharu di talian 09-7196222 atau bapa mangsa di talian 014-5209617 dan 012-9631973.


Info Pick from :Berita Harian

No comments:

Post a Comment