Tuesday, December 21, 2010

Sah Once Tinggalkan Dewa 19

Teka teki mengenai status vokalis kumpulan dari Indonesia popular Dewa 19, Once atau nama sebenarnya Elfondra Mekel terjawab apabila Ahmad Dhani memberitahu bahawa dia telah menerima surat perletakan jawatan daripada Once sejak seminggu lalu.




Ahmad Dhani ketika ditemui di Konsert Ria 2010 di i-City Shah Alam baru-baru ini memberitahu surat tersebut diberikan oleh Once kepada semua anggota kumpulan Dewa 19. Oleh sebab itu Dewa 19 bakal mencari vokalis baru bagi menggantikan Once.

"Di dalam suratnya, Once hanya menyatakan dia sudah 'jenuh' atau bosan dengan Dewa 19. Dia tidak memberitahu sebab yang lebih terperinci selain mahu fokus dengan projek album solonya selepas ini," ujar Ahmad Dhani yang menerima keputusan Once itu dengan hati terbuka.

Tambahnya, kenyataan yang diberikan kepada pihak media Malaysia itu merupakan kenyataan pertama daripadanya. Malah para peminat serta pihak media di Indonesia juga masih belum tahu mengenai perletakan jawatan Once.

Ditanya mengenai perang dingin yang melanda antara Dewa 19 dan Once, Ahmad Dhani yang popular dengan lagu Sedang Ingin Bercinta itu berterus terang memberitahu mereka sudah lebih lapan bulan tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Bagaimanapun atas dasar profesional mereka tetap mengadakan persembahan bersama dan kali terakhir pada bulan Ogos lalu untuk salah sebuah saluran televisyen di Indonesia.

"Ketika membuat persembahan, kami hanya berpandukan kepada senarai lagu yang diberikan. Kami bermain muzik manakala Once hanya menyanyi," katanya yang tetap mendoakan kejayaan Once selepas ini.

Diusik dengan persoalan sama ada dia sedih atau tidak dengan pengunduran Once, dia memberitahu tidak sedih dan tidak menyimpan hasrat untuk memujuk Once agar kembali ke pangkuan Dewa 19.

"Ditinggal isteri saja tidak sedih, inikan pula ditinggalkan oleh Once. Apapun saya yakin ada peminat yang kecewa dengan berita ini," katanya.

Mengenai pengganti Once pula, Ahmad Dhani tidak menetapkan syarat yang ketat. Katanya cukuplah jika calon tersebut lebih muda daripada Once dan mempunyai suara yang tinggi. Ini kerana dia menyukai kualiti vokal yang sebegitu.

"Saya tidak boleh menjadi vokalis Dewa 19 kerana saya tiada suara yang tinggi. Bagaimanapun saya yakin bukan mudah untuk mencari pengganti Once.

"Namun kami sudah mempunyai perancangan untuk mengadakan sebuah program realiti di Indonesia bagi mencari calon yang sesuai untuk menggantikan Once. Malah kami juga berminat untuk bekerjasama dengan pihak dari Malaysia," jelasnya.

Dalam pertemuan itu juga, pihak media sempat bertanyakan kepadanya mengenai khabar angin yang mengatakan kekasihnya, Mulan Jameela yang dikatakan hamil. Bagaimanapun dia enggan memberikan sebarang komen.

No comments:

Post a Comment